Dabus Tarian Pahlawan Negeri Perak  

Posted in

Dabus adalah tarian pahlawan negeri Perak. Pada awalnya, ia tarikan oleh lelaki sahaja menggunakan pakaian pahlawan Melayu Perak. Seramai 8 hingga 12 orang akan menari sambil diiringi oleh paluan alat muzik rebana.

Bunyi rebana digabungkan dengan bunyi gemercing daripada "anak dabus" iaitu sejenis besi tajam yang mempunyai beberapa gegelang yang dipasang di bahagian telinga anak dabus.

Dipercayai, tarian ini dipersembahkan bagi menunjukkan keberanian pahlawan Perak kepada tetamu di istana. Pada akhir persembahan, penari akan mencucuk lengan menggunakan anak dabus. Setelah selesai, ketua dabus akan menjampi dan mencuci luka dengan air penawar.

Pada awalnya, selain menggunakan anak dabus, penari menggunakan pelbagai senjata tajam lain untuk menambah kehebatan penari dabus. Diantaranya ialah pisau belati, keris, kapak kecil dan batu guling.

Tarian dabus dipercayai bermula apabila dua pedagang bernama Nakhoda Lembang dan Nakhoda Topah dari Batu Bahara, Sumatera memperkenalkan tradisi ini kepada penduduk tempatan disekitar Telaga Nenas, Sitiawan. Kemudian tarian ini berkembang meluas ke Bagan Datoh dan terus hinggalah ke daerah Kuala Selangor.

Dipercayai, pahlawan Melayu dari kumpulan dabus ini telah membantu mengusir pendudukan Belanda di loji timah Teluk Gedung, Pulau Pangkor. Selain itu pihak British juga telah menggunakan kumpulan pahlawan dabus ini untuk mengalahkan penjahat di perairan Selat Melaka.

Terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi dalam permainan dabus ini. Antaranya ialah hanya ahli dabus sahaja dibenarkan menyentuh peralatan permainan dabus. Anak dabus hendaklah dijaga dengan baik, tidak boleh dicucuk ke tanah. Pemain dabus hendaklah sentiasa bersih pakaian, perbuatan dan perkataannya.

This entry was posted on Selasa, Julai 29, 2008 at Selasa, Julai 29, 2008 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 komentar

Catat Ulasan