Nasyid Dan Lagu Dabus  

Kategori :

Pada peringkat awal pengenalan dabus di negeri ini nasyid dabus dilagukan dalam bahasa Arab dan lagu-lagu rentak tarinya dinyanyikan sama ada di dalam bahasa Arab atau bahasa melayu mengikut dari mana asal kesenian ini dibawa.

Apabila telah sekian lama bertapak di sini, senikata nasyid dan lagu ini mula diubah ke dalam bahasa tempatan iaitu bahasa melayu mengikut kesesuaian tempat serta daya kreativiti penggubahnya.

Pada umumnya senikata nasyid dan lagu-lagu dabus ini memuji kebesaran Allah dan Rasulnya. Contoh senikata nasyid dan lagu rentak tari dabus adalah seperti berikut:-

Dalam Bahasa Arab

“He Allah he Allah
hodal hema kheya maulai
he Allah he Allah
lana mahbud se wa Allah.”

“Mura di seng Allah mura diseng
Kama la izin Allah mura di
mura di yah Allah mura di yah
kama la izin Allah mura di.”

Dalam Bahasa Melayu

“Tuan Haji berbaju jubah
pergi. ke padang berburu rusa
orang mengaji memuji Allah
orang sembahyang mengampun dosa”

“Syed.Hassan Syed Hussein
Anak cucu Rasulullah
Mati Hassan tinggal Hussein
Mati berperang Sabilullah”

Lagu-lagu rentak tari dabus terdiri dari Hadi (Chorus) dan Jawab. Hadi dipetik dari surah Berzanji dalam bahasa arab manakala jawapannya adalah rekaan sendiri di dalam bahasa melayu. Jawab dan hadi disampaikan secara berselang seli, Sekali jawab sekali hadi. Hadi pertama ialah Bishahrin, hadi kedua Tanaqal dan hadi ketiga Alham.

Contohnya adalah seperti berikut :

Jawab :
He Allah he Allah hoya Allah
Hodal hema le keyai maulai
He Allah he Allah la le mahbud
Sewa Allah

Hadi :
Bishahrin rabie
Qad bawa nuruhul a'la
Faya hab baz badru
Biza kal hema yujla

Jawab :
Mura disin , Allah mura disin
Kamala izin Allah muradin
Mura diya Allah mura diya
Kamala izin Allah muradin

Hadi :
Tanaqal fi adhlabi arbabi sudadin
Kazal' shamsufi abrajiha tatanaqqal

Jawab :
Sa..le la mahkota alam
Bukit zaman kubur aulia
Mari dituntut besi yang tajam
Buat penawar besi yang bisa

Hadi :
Alhamdulillah hillazi a'toni
Hazal ghula mal taiibal. Azdani

Contoh Senikata Lagu Rentak Tari Dabus Yang Lain :-

Adam Siti Hawa
Datuk nenek moyang kita
Mati di Jedah di luar kota
Batu nisannya berjanjar tiga.

Banyak hari perkara hari
Hari Jumaat yang sebenar hari
Banyak nabi perkara nabi
Nabi Muhammad sebenar nabi

Budak-budak pergi ke sekolah
Lagi mendapat lagi terpuji
Cukup duit pergi ke Mekah
Boleh berziarah ke makam Nabi.

Contoh Senikata Rertak Tari Dabus Dalam Bahasa Aceh :

Bon batu bon
Batu sayang batu banilla
Di mana batu membalun
Bak minta doa balunja.

Pakaian Dabus  

Kategori :

Pakaian mereka yang terlibat di dalam satu-satu persembahan berbeza di antara satu sama lain. Pakaian ini terbahagi kepada 3 jenis iaitu pakaian penari, pakaian khalifah dan pakaian pemuzik.

Pakaian Penari

Pakaian penari-penari mirip kepada pakaian pahlawan. Sepasang pakaian penari lelaki yang lengkap terdiri dari sepasang seluar panjang, baju melayu telok be-langa berlengan paras siku, sampin, tanjak dan se-helai selempang. Untuk kelihatan lebih gagah, pa¬kaian ini diperbuat dari kain berwarna hitam. Warna hitam ini ada kaitannya dengan unsur-unsur kekebalan.

Pakaian penari wanitanya pula mirip kepada pakaian srikandi, berseluar rencong Aceh, berbaju kurung cekak musang, bersampin, berselerapang dan berbeng-kung. Pakaian ini lebih dikenali sebagai Puteri Perak.

Pakaian Pemuzik

Pemuzik biasanya berpakaian baju melayu sedondon lengkap dengan sampin dan memakai songkok atau pun tengkolok. Pada masa lalu, pemuzik memakai pakaian sama seperti penari tetapi tanpa selempang.

Pakaian Khalifah

Khalifah dabus biasanya berpakaian baju berwarna hitam, berseluar panjang dan memakai ikat kepala (semutar) atau bertengkolok ikatan 'getam pekasam’. Walau bagaimana pun cara berpakaian berubah mengikut peredaran masa. Kini boleh dilihat khalifah berpakaian dalam warna yang lebih menarik yang tidak terbatas kepada warna hitam sahaja.

Peralatan Pemulihan Tarian Dabus  

Kategori :


Permainan dabus tradisional yang mempunyai unsur-unsur ritual ini tidak dapat dipisahkan dengan jampi serapah. Bagi memperkuatkan keberkesanan jampi serapah ini beberapa peralatan dan bahan yang digunakan di dalam perubatan tradisional adalah diperlukan.


Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:-
  1. Kemiyan
  2. Bertih
  3. Beras Kunyit
  4. Tepung Tawar
  5. Air Penawar Bisa (Pemulih)

Kemiyan:

Kemiyan amat penting di dalam segala upacara atau majlis yang berkaitan dengan perubatan tradisional. Kemiyan ini dibakar di dalam sebuah bekas khas yang disebut perasap. Sebelum permainan dabus dimulakan, kemiyan diasapkan di sekeliling gelanggang.

Kemiyan ini jaga digunakan bagi mengasap peralatan-peralatan persembahan seperti anak dabus dan penari-penari sebelum mereka masuk ke gelanggang.

Bertih Dan Beras Kunyit:


Bahan-bahan ini digunakan untuk menabur dan menyiram seluruh gelanggang dan kawasan sekelilingnya bagi menjauhkan dari segala gangguan yang tidak diingini.

Tepung Tawar:

Air tepung tawar direnjis sepertimana menabur bertih dan beras kunyit. Perenjis air tepung tawar ini terdiri daripada daun-daun pilihan seperti daun kabung, daun sepulih, daun setawar daun sambar dan daun ati-ati hitam. Daun-daun ini dirangkaikan dalam satu ikatan sebesar ibu jari dan direndamkan di dalam sebuah mangkuk yang berisi air.

Daun-daun itu dipilih berdasarkan kepada sumpahan daun itu sendiri. Umpamanya daun sepulih bertindak sebagai pemulih, daun setawar sebagai penawar dan daun kabung serta daun sambar adalah sumpahan bagi makhluk halus.

Air Penawar Bisa:


Air penawar bisa pula penting bagi membasuh luka-luka dan menawarkan bisa-bisa besi pada lengan penari-penari akibat tikaman anak-anak dabus. Campuran bahan-bahan air penawar bisa ini terdiri daripada hirisan umbut pisang, daun setawar yang diramas, daun sireh serta hirisan batang serai. Seperti bahan-bahan lain, air penawar bisa ini juga dijampi.