Cara Persembahan: Tarian Dabus  

Posted in

Persembahan tarian dabus yang asli mengandungi unsur-unsur kebatinan. Sebelum sesuatu persembahan dimulakan upacara memulih gelanggang di lakukan. Seorang bomoh yang digelar khalifah di dalam permainan dabus memulakan upacara dengan menjampi sebutir kemiyan. Jampi serapahnya adalah seperti berikut:-

Bismillah-hirrahmanirrahim Assalamualaikum ya kemiyan,
dijadikan Allah dari getah kayu yang putih,
asal engkau he kemiyan, .
aku tahu asal engkau,
mula menjadi tongkat Rasulullah,
ku selang seraya...

Kemiyan ini dibakar dan diperasapkan kepada semua peralatan yang digunakan. Kemudian khalifah menyiram bertih, beras kunyit dan menepung tawar ke sekeliling gelanggang permainan. Ini bertujuan bagi menjauhkan daripada segala gangguan-gangguan makhluk halus serta perbuatan khianat kepada ahli-ahli yang menjayakan tarian itu.

Setelah itu persembahan dimulakan dengan seorang atau dua orang pemuzik melagukan nasyid dabus diiringi dengan paluan rebana dabus. Nasyid dabus ini disambung pula dengan lagu-lagu rentak tari dabus yang dilagukan olen semua Pemuzik serentak dengan paluan rebana dabus dan gong. Serentak dengan itu juga seorang penari masuk ke gelanggang untuk menari. Sebelum memulakan langkah, penari duduk bertinggung dengan kedua belah tangannya memegang sepasang anak dabus, satu di tangan kanan dan satu di tangan kiri dan bergerak ke hadapan tiga langkah dan tiga langkah ke belakang kemudian tunduk memberi hormat.

Selepas itu beliau berdiri dan memulakan tarian. Habis satu lagu penari ini akan berundur dan digantikan dengan dua penari dan ini diikuti pula oleh 4 pasang penari yang lain Penari-penari yang akan mencucuk lengannya, menghadap khalifah untuk dibasuh lengan mereka denga air penawar dan dijampi serta diiktikad dalam hati oleh khalifah, "tulang kamu besi, kulit kamu tembaga”.

Penari meneruskan tarian sambil mencucuk lengan dengan pangkal anak dabus yang tajam. Luka-luka akibat tikaman ini dibasuh denga air penawar dan dipicit keluar bisanya serta dijampi oleh khalifah untuk menyembuhkan luka, Jampi ini dipetik dari surah Al-'Lahab ayat satu yang berbunyi: "Tabbat ya da abi la ha biung wattab".

Selain dari mencucuk lengan dengan anak dabus, terdapat juga penari-penari yang menghentakkan batu giling ke bahagian badan terutamanya bahagian paha. Satu persembahan dabus yang lengkap, mengambil masa lebih kurang 30 minit.Setelah selesai persembahan anak-anak dabus dibersihkan dan sekali lagi dijampi oleh khalifah.

This entry was posted on Selasa, September 09, 2008 at Selasa, September 09, 2008 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

2 komentar

Bersempena dengan Aidil Fitri tahun 2008 ini, Abang Bear mintak maaf atas segala keterlanjuran .....kita melangkah meninggalkan ramadhan yg barakah dgn berat hatinya di samping gembira menyambut tibanya syawal yg mulia.... semoga persaudaraan kita kekal dan sentiasa dalam redha Allah.....

Ketupat diletak di atas para
Rendang diletak di bawah titi
Andai ada tersilap bahasa
Maaf dipinta menyusun jari

Adat jauh kata mengata
Adat dekat puji memuji
Andai ada tersilap kata
Maaf dipinta sepuluh jari

Sungai disusur sepanjang sehari
Dalam gelap menangkap ikan
Kami menyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf zahir dan batin dari Abang Bear

wassalam

4 Oktober 2008 11:09 PTG

x pernah tau tarian ini wujud. terima kasih atas infomasi anda ☺

16 Jun 2014 9:59 PG

Catat Ulasan