Anak Dabus: Alatan Tarian Dabus  

Posted in

Bentuk-bentuk Anak Dabus:

  • Anak dabus dua telinga
  • Anak dabus bercabang tiga
  • Anak dabus bercabang empat

Di dalam persembahan dabus alatan-alatan lain tidak diperlukan melainkan anak dabus. Anak dabus merupakan alat yang terpenting bagi tarian dabus. Tanpa alat ini tarian dabus tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan perbezaan dari tarian-tarian tradisional lain.

Bentuk anak dabus lebih menyerupai sebilah senjata yang runcing dan tajam di bahagian pangkalnya manakala di bahagian hujungnya dibentukkan satu rangkaian bercabang dua, tiga atau empat seakan kelopak bunga. Di setiap jejari kelopak itu diletak cincin untuk menghasilkan bunyi apabila digoncang semasa menari.

Anak Dabus Dua Telinga

Rupa bentuk anak dabus ini dari segi ukuran sama seperti anak-anak dabus yang lain. Perbezaannya terdapat di bahagian kepala di mana lingkaran untuk menggantung cincin hanya dibuat dua kelopak sahaja dan bentuknya kecil seperti telinga. Telinga ini dipasang selari iaitu di sebelah kiri dan kanan kepala anak dabus. Bahagian pangkalnya runcing dan tajam.

Anak Dabus Bercabang Tiga

Anak dabus ini dikenali sebagai cabang tiga berdasarkan kepada ciri-ciri bahagian kepalanya mempunyai tiga pecahan atau kelopak. Di setiap pecahan ini dipasangkan cincin atau gegelang besi. Ukuran anak dabus ini kira-kira 30 sentimeter panjang dari kepala hingga ke bahagian pangkal yang runcing.







Anak Dabus Bercabang Empat


Dari segi ukuran panjang, anak dabus ini juga mem-punyai ukuran yang sama seperti anak-arfak dabus yang lain. Apa yang membezakannya ialah cabang atau kelopaknya berpecah empat. Cabang empat itu melambangkan empat penjuru alam dengan empat unsur yang mempengaruhi kehidupan manusia iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini saling berkait antara satu sama lain dan memberikan semangat, kekuatan, keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Sebagai kesimpulannya, anak-anak dabus ini adalah lambang keberanian dan kegagahan. Ini dapat dilihat apabila penari-penari menari dengan gagah serta mencucukkan anak-anak dabus ke lengan mereka tanpa rasa takut, ngeri mahupun sakit.

Gong: Alatan Tarian Dabus  

Posted in

Tergolong dalam keluarga idiofon, Gong memainkan peranan yang penting di dalam sesebuah tarian dabus kerana ia berfungsi menentukan tempo rentak tari.

Kesenian Tarian Dabus Kampung Tanjung Bidara  

Posted in


Permainan Dabus dipercayai telah dikenali di negeri Perak sejak 200 tahun yang lalu. Ianya bertapak di tiga tempat iaitu di Bagan Datoh daerah Hilir Perak, Kampung Tanjung Bidara, Pulau Tiga daerah Perak Tengah dan di Kampung Pasir Panjang Laut, Sitiawan
daerah Manjung.

Ada beberapa pendapat mengenai sejarah pengenalan dabus di negeri Perak .
Menurut Encik Nordin bin Ahmad ( Pengkaji sejarah negeri Perak), Megat Terawis dan rakannya Sebana yang diperintahkan mengambil Puteri Limau Purut di Aceh telah membawa balik bersama mereka kesenian dabus ke negeri Perak. Manakala Tuan Haji Salleh bin Ngah Jaafar pula menyatakan bahawa dabus mula diperkenalkan di negeri Perak khususnya di Kampung Tanjung Bidara, Pulau Tiga, Kampung Gajah oleh Tok Pawang Bakar seorang anak jati kampung itu yang pergi merantau ke Aceh. Tok Pawang Bakar kemudianya telah mengajarkan ilmu kesenian dabus ini kepada Tok Tanda Cu Biduan dan kemudiannya diperturunkan pula kepada anaknya Alang Dolah. Bermula dari situ semakin ramai yang mempelajari nya dan terus bertapak hingga ke hari ini.

Berlainan pula dengan cara pengenalan dabus di Kampung Pasir Panjang Laut, Sitiawan. Menurut Tuan Haji Abdul Malik, dabus di situ telah diperkenalkan oleh seorang pedagang dari Baghdad yang bernama Ahmad Mahyuddin pada tahun 1785. Di sini dabus di bawa secara langsung oleh pedagang kerana lokasi kampung tersebut terletak di pesisir pantai yang mana urusan dagangan pada ketika itu adalah melalui Selat Melaka.

Apa pun jua pendapat mengenai sejarah asal-usul Dabus , yang pastinya kesenian ini memang berasal dari dari tanah Arab dan telah diubahsuai mengikut suasana tempat ianya mula bertapak atau diperkenalkan.