Cara Persembahan: Tarian Dabus  

Posted in

Persembahan tarian dabus yang asli mengandungi unsur-unsur kebatinan. Sebelum sesuatu persembahan dimulakan upacara memulih gelanggang di lakukan. Seorang bomoh yang digelar khalifah di dalam permainan dabus memulakan upacara dengan menjampi sebutir kemiyan. Jampi serapahnya adalah seperti berikut:-

Bismillah-hirrahmanirrahim Assalamualaikum ya kemiyan,
dijadikan Allah dari getah kayu yang putih,
asal engkau he kemiyan, .
aku tahu asal engkau,
mula menjadi tongkat Rasulullah,
ku selang seraya...

Kemiyan ini dibakar dan diperasapkan kepada semua peralatan yang digunakan. Kemudian khalifah menyiram bertih, beras kunyit dan menepung tawar ke sekeliling gelanggang permainan. Ini bertujuan bagi menjauhkan daripada segala gangguan-gangguan makhluk halus serta perbuatan khianat kepada ahli-ahli yang menjayakan tarian itu.

Setelah itu persembahan dimulakan dengan seorang atau dua orang pemuzik melagukan nasyid dabus diiringi dengan paluan rebana dabus. Nasyid dabus ini disambung pula dengan lagu-lagu rentak tari dabus yang dilagukan olen semua Pemuzik serentak dengan paluan rebana dabus dan gong. Serentak dengan itu juga seorang penari masuk ke gelanggang untuk menari. Sebelum memulakan langkah, penari duduk bertinggung dengan kedua belah tangannya memegang sepasang anak dabus, satu di tangan kanan dan satu di tangan kiri dan bergerak ke hadapan tiga langkah dan tiga langkah ke belakang kemudian tunduk memberi hormat.

Selepas itu beliau berdiri dan memulakan tarian. Habis satu lagu penari ini akan berundur dan digantikan dengan dua penari dan ini diikuti pula oleh 4 pasang penari yang lain Penari-penari yang akan mencucuk lengannya, menghadap khalifah untuk dibasuh lengan mereka denga air penawar dan dijampi serta diiktikad dalam hati oleh khalifah, "tulang kamu besi, kulit kamu tembaga”.

Penari meneruskan tarian sambil mencucuk lengan dengan pangkal anak dabus yang tajam. Luka-luka akibat tikaman ini dibasuh denga air penawar dan dipicit keluar bisanya serta dijampi oleh khalifah untuk menyembuhkan luka, Jampi ini dipetik dari surah Al-'Lahab ayat satu yang berbunyi: "Tabbat ya da abi la ha biung wattab".

Selain dari mencucuk lengan dengan anak dabus, terdapat juga penari-penari yang menghentakkan batu giling ke bahagian badan terutamanya bahagian paha. Satu persembahan dabus yang lengkap, mengambil masa lebih kurang 30 minit.Setelah selesai persembahan anak-anak dabus dibersihkan dan sekali lagi dijampi oleh khalifah.

Rebana Dabus (Membranofon)  

Posted in

Pada zaman dahulu rebana jarang digunakan. Sebaliknya pemain-pemain menggunakan redap iaitu sejenis alat yang lebih besar daripada gendang. Kini keseluruhan kumpulan dabus menggunakan rebana besar atau lebih dikenali sebagai rebana dabus.

Di dalam sesuatu persembahan dabus, sebanyak 4 atau 5 buah rebana digunakan. Rebana ini berukuran 40 cm lebar permukaannya dan tingginya 20 cm. Kekuatan alunan bunyi pukulan rebana ini banyak mempengaruhi rentak tarian. Semakin bersemangat pukulan maka semakin rancaklah penari-penari membawakan tarian.

Anak Dabus: Alatan Tarian Dabus  

Posted in

Bentuk-bentuk Anak Dabus:

  • Anak dabus dua telinga
  • Anak dabus bercabang tiga
  • Anak dabus bercabang empat

Di dalam persembahan dabus alatan-alatan lain tidak diperlukan melainkan anak dabus. Anak dabus merupakan alat yang terpenting bagi tarian dabus. Tanpa alat ini tarian dabus tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan perbezaan dari tarian-tarian tradisional lain.

Bentuk anak dabus lebih menyerupai sebilah senjata yang runcing dan tajam di bahagian pangkalnya manakala di bahagian hujungnya dibentukkan satu rangkaian bercabang dua, tiga atau empat seakan kelopak bunga. Di setiap jejari kelopak itu diletak cincin untuk menghasilkan bunyi apabila digoncang semasa menari.

Anak Dabus Dua Telinga

Rupa bentuk anak dabus ini dari segi ukuran sama seperti anak-anak dabus yang lain. Perbezaannya terdapat di bahagian kepala di mana lingkaran untuk menggantung cincin hanya dibuat dua kelopak sahaja dan bentuknya kecil seperti telinga. Telinga ini dipasang selari iaitu di sebelah kiri dan kanan kepala anak dabus. Bahagian pangkalnya runcing dan tajam.

Anak Dabus Bercabang Tiga

Anak dabus ini dikenali sebagai cabang tiga berdasarkan kepada ciri-ciri bahagian kepalanya mempunyai tiga pecahan atau kelopak. Di setiap pecahan ini dipasangkan cincin atau gegelang besi. Ukuran anak dabus ini kira-kira 30 sentimeter panjang dari kepala hingga ke bahagian pangkal yang runcing.







Anak Dabus Bercabang Empat


Dari segi ukuran panjang, anak dabus ini juga mem-punyai ukuran yang sama seperti anak-arfak dabus yang lain. Apa yang membezakannya ialah cabang atau kelopaknya berpecah empat. Cabang empat itu melambangkan empat penjuru alam dengan empat unsur yang mempengaruhi kehidupan manusia iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini saling berkait antara satu sama lain dan memberikan semangat, kekuatan, keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Sebagai kesimpulannya, anak-anak dabus ini adalah lambang keberanian dan kegagahan. Ini dapat dilihat apabila penari-penari menari dengan gagah serta mencucukkan anak-anak dabus ke lengan mereka tanpa rasa takut, ngeri mahupun sakit.